Klik di sini!

Jom Berhoye-hoye!

Monday, November 29, 2010

10 PANDUAN JADIKAN WANITA BERJAYA

Ok tak nak buang masa. Ni Bakul bagi artikel dari majalah Seri Dewi & Keluarga lagi keluaran Julai 2008 pulak. Selamat membaca!



10 PANDUAN JADIKAN WANITA BERJAYA


1. Buang jauh fikiran negatif
Acap kali berfikiran negatif tidak akan membawa kamu ke mana-mana. Malah, ia ibarat racun perosak kejayaan kamu. Oleh itu sebagai langkah awal, kenal pasti terlebih dahulu fikiran-fikiran negatif yang sentiasa berlingkar dalam minda kamu. Kemudian buangkanlah ia jauh-jauh agar tiada lagi unsur negatif sebegitu yang menjadi penghalang kejayaan kamu. Lawan dan kalahkanlah ia. Seandainya kamu mahu berjaya, tibalah masanya untuk kamu berfikir selaku pemenang. Bayangkanlah kejayaan yang bakal diraih.

2. Tangani ketakutan
Takut dan bimbang acap kali merencatkan langkah kamu untuk berjaya. Jadi, cubalah tanganinya dengan baik. Usah biarkan ia menguasai diri dan minda kamu. Sebaliknya yakinilah bahawa kamu mampu melakukan yang terbaik jika kamu mencuba bersungguh-sungguh. 

3. Tekun dan jujur
Tekun dan ikhlas dalam melaksanakan tugas adalah kunci utama mencapai kejayaan. Ini bermakna, setiap tugas yang dilakukan hendaklah dibuat dengan penuh keikhlasan dan berkualiti tanpa merungut. Kamu juga perlu melakukan tugas dengan penuh kesungguhan dan bukannya separuh jalan ataupun 'hangat-hangat tahi ayam'. Kebanyakan wanita yang berjaya biasanya adalah dari kalangan mereka yang gigih dan mempunyai daya tekun yang tinggi.

4. Inspirasi dan motivasi
Inspirasi membentuk motivasi. Dan ia juga boleh mempengaruhi hala tuju kejayaan kamu. Tiada halangan untuk kamu menentukan siapa sumber inspirasi kamu. Ia boleh jadi terdiri daripada ahli keluarga mahupun sahabat. Walaubagaimanapun, untuk berjaya dalam dunia yang diceburi, cubalah dapatkan idola daripada ikon dalam bidang yang sama. Jadikanlah dia sebagai 'role model' kamu.

5. Kuasai ilmu dan kemahiran
Tidak kisah apa pun bidang yang diceburi, penguasaan ilmu dan kemahiran amat penting untuk kamu meraih kejayaan. Lantaran itu, usah sesekali segan silu untuk menerokanya walaupun sehingga terpaksa meminta bantuan daripada orang bawahan kamu. Timbalah lebih banyak ilmu dan kemahiran. Ingatlah bahawa banyak perubahan yang berlaku seiring dengan kemajuan dunia. Jadi, bersedia untuk menghadapi peredaran waktu dan meneroka sesuatu yang baru.

6. Cekal hati, kuatkan semangat
Tidak mudah untuk menjadi orang berjaya kerana halangan yang bakal diterima bukanlah sedikit. Cubalah bersikap tabah dan kuat semangat agar kamu tidak mudah terpengaruh mahupun terduduk dengan setiap kekalahan. Di samping itu, cekalkan hati supaya kamu tidak mudah tunduk dengan cabaran, desakan dan tindak-tanduk pihak lain yang mahu menjatuhkan kamu. Latihlah diri agar sentiasa bersikap rasional dalam apa jua situasi.

7. Usab berlengah
Kalau kamu mahu bergelar wanita berjaya, usahlah sesekali  berlengah dalam setiap tindakan dan perancangan. Ingatlah, setiap detik amat berharga dan bermakna. Lupakanlah kegagalan lalu dan jangan biarkan ia melalaikan kamu. Usahlah menjadikan emosi kamu sebagai punca kamu membazir waktu.

8. Rancang dan jadualkan
Perancangan yang rapi cukup penting kerana ia akan menentukan sejauh mana kelancaran tugasan kamu. Selesai merancang, buatlah jadual dan senaraikan tugas mengikut tuntutan keperluan serta kepentingan. Jadilah seorang individu yang berdisiplin dengan melaksanakan setiap tugas berdasarkan jadual tersebut.

9. Muhasabah diri
Bukan mudah untuk menilai diri, lebih-lebih lagi kalau ia dilakukan oleh individu lain. Namun, cubalah bersikap rasional, tenang dan kuat. Anggaplah ia sebagai suntikan semangat untuk berjaya. Menerusi penilaian tersebut, kenal pasti kelemahan dan kekuatan diri. Gilap kebolehan dan kemahiran yang sedia ada. Di samping itu, cuba perbetulkan kelemahan dan kesilapan.

10. Katakan TIDAK pada kegagalan
Walau apa pun yang terjadi, janganlah berputus asa. Jangan pula mudah mengalah lebih-lebih lagi kalu kamu belum mencuba. Meskipun kamu pernah mengalami kegagalan namun tidak bermakna kerjaya kamu telah berakhir. Sebaliknya jadikan kegagalan sebagai satu permulaan untuk mengecap kejayaan.  


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...