Aku rasa rindu
Tapi entah pada siapa
Jiwaku kosong
Tapi salah siapa?
Aku rasa rindu
Pada siapa ku tidak tahu
Mungkinkah pada teman-teman?
Ah aku yang menyombong diri tidak menemui mereka
Hanya bersapa bila bertemu di persimpangan atau jalanan
Hanya tersenyum jika mereka yang memulakan
Masihkah boleh dikata rindu?
Mungkinkah pada ibu di kampung halaman?
Setelah lama tidak pulang
Tetapi baru sebentar ku berbicara dengan ibu di talian
Bertanya khabar tentang ibu, tentang kesihatannya
Masihkah boleh dikata rindu?
Mungkinkah pada kekasih Allah?
Kekasih yang Kau cintai?
Rasulullah penghulu segala nabi
Tapi… huh, berselawat saja tidak selalu
Sedangkan baginda pemberi syafaat kepadaku
Tetapi diri ini lambat benar sedarnya
Masihkah boleh dikata rindu?
Mungkinkah padaMu Ya Allah?
Mungkinkah? Mungkinkah?
Tetapi solat sahaja hanya cukup-cukup lima waktu
Tidak terniat pun menambah pahala melakukan yang sunat
Bersedekah pula jarang sekali
Apakah ibadah namanya itu?
Jika perlakuanku tidak beserta namaMu
Masihkah boleh dikata rindu?
Masihkah boleh dikata rindu?
No comments:
Post a Comment