Klik di sini!

Jom Berhoye-hoye!

Thursday, December 1, 2011

Mimpi Aneh dan Pengembala Kibas

Ada seorang pengembala kibas terkenal kerana sifat pemurahnya suka membantu orang yang dalam kesusahan. Beliau juga sangat alim dan merendah diri.
            Tapi apa yang menghairankan penduduk, beratus-ratus ekor kibas di dalam kandangnya tidak pernah luak walaupun pengembala menjual kesemua kibasnya. Keajaiban itu dianggap penduduk sebagai petanda pengembala sebagai wali Allah.
            Suatu hari, penduduk kampung sepakat meminta pengembala menjadi imam sembahyang Zuhur. Jemaah mahu mengambil berkat daripada sifat pemurah pengembala. Pengembala bersetuju.
            Pengembala mengimamkan solat petang itu. Semasa menjadi imam, pengembala hanya membaca surah Al-Fatihah. Surah berikutnya juga ayat lazim yang mudah dengan bacaan tajwid kurang sempurna.
            Setelah selesai sembahyang, semua jemaah merasa geli hati. Ada yang kecewa. Selama ini mereka menganggap pengembala seorang yang hebat tetapi merasa tertipu dengan kealimannya. Mereka merasa tersilap menganggap pengembala seorang wali Allah sedangkan bacaan tajwidnya kurang sempurna.
            Pada malam tersebut, seluruh alim ulama dan penduduk mendapat mimpi yang sama. Penduduk bermimpi didatangi oleh seorang lelaki yang tinggi lagi kacak.
            Lelaki kacak memberitahu bahawa seumur hidup itulah pertama kali ibadah sembahyang mereka diterima oleh Allah s.w.t. Semua penduduk menangis sebaik tersedar dari mimpi mereka.
            Esoknya, selepas sembahyang Subuh di masjid, semua penduduk dan para alim ulama sibuk menceritakan perihal mimpi masing-masing. Semua mengadu mendapat mimpi yang sama.
            Akhirnya kata sepakat dibuat. Mereka mesti menemui pengembala untuk meminta maaf. Sebaik tiba di lokasi tempat pengembala tinggal, alangkah terkejutnya apabila mendapati pengembala tiada di situ. Paling menghairankan kandang ternakannya juga turut ghaib sama.
            Penduduk berasa menyesal. Mereka menangis dan bertaubat di atas kekhilafan mereka. Sekarang baru mereka sedar tiada siapa berhak mendahului Allah dalam soal menentukan amalan seseorang. Bahkan ibadah mereka sendiri belum pasti kedudukannya di sisi Allah.
            Allah telah berfirman yang bermaksud: “Jangan engkau semua melagak-lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih Mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa.” (An-Najm ayat 23)

 
Artikel dari majalah Mastika keluaran Ogos 2010.  


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...